Yab Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin (Perdana Menteri Malaysia) hari ini 23 September 2020 membuat perutusan Kita Prihatin, berikut adalah teks ucapan Yang Amat Berhormat sebagai perkongsian bersama;
1. Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi, apa khabar semua? Saya doakan anda sihat walafiat.
2. Hari ini saya tampil sekali lagi membawa beberapa perkhabaran penting berkait ekonomi negara kita. Seperti yang kita semua sedia maklum, perjuangan kita memerangi pandemik COVID-19 kini berada di dua perbatasan. Sementara anggota barisan hadapan kita sedang bertungkus lumus berjuang di perbatasan kesihatan untuk menyelamatkan nyawa rakyat, di perbatasan lain pula iaitu ekonomi negara, pihak Kerajaan dan agensi-agensi berkaitan bertungkus lumus menguruskan ekonomi negara yang terkesan dengan penularan Covid- 19.
3. Melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi negara yang saya telah umumkan sebelum ini iaitu Prihatin, Prihatin PKS Tambahan dan Penjana – yang keseluruhannya bernilai lebih RM295 bilion — Kerajaan sedang giat menjalankan pemulihan ekonomi demi menjamin kesejahteraan hidup saudara dan saudari sekalian. Dalam hal ini, saya dan rakan-rakan dalam kabinet sentiasa terbuka menerima maklumbalas daripada orang ramai supaya kita dapat pastikan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan berkesan dalam meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.
4. Saya juga sentiasa mengingatkan ahli-ahli jemaah Menteri supaya lebih kerap bertemu dengan pelbagai lapisan rakyat – orang muda dan warga emas, pekerja dan majikan, peniaga kecil dan pengusaha PKS, penjawat awam dan pekerja swasta, petani, penternak, nelayan dan masyarakat secara umumnya dari Lahad Datu di Sabah hingga ke Arau di Perlis untuk mendapatkan maklumbalas tentang keperluan-keperluan rakyat jelata yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.
5. Baru-baru ini, saya sendiri berkesempatan bertemu dengan Encik Rosali Md Nasid, Puan Chan Kam dan Puan Danaletchimi sewaktu lawatan saya ke PPR Desa Rajang Setapak. Saya mengambil perhatian segala luahan hati dan pandangan yang disampaikan oleh mereka dan termasuk juga komen-komen saudara dan saudari di media sosial.
Maklumat selanjutnya berkenaan perutusan dari Yab Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin (Perdana Menteri Malaysia), Sila layari pautan tersebut 👉 Kita Prihatin
0 Comments